
Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan sebagai pembimbing manusia ke jalan benar. Oleh kerana ianya yang terakhir, maka ia lebih lengkap dibandingkan dengan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Dan yang lebih hebat lagi, ia boleh dihafaz oleh manusia dan jin yang mempunyai niat yang ikhlas untuk berbuat demikian. Tentu ada sesuatu hikmah disebaliknya, justeru kita dianjurkan supaya menghafaznya.
Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru. Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran. Dengan demikian baginda s.a.w. digelarkan Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran. Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran, dan ada di antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja. Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.
Menghafaz Al-Quran bukan bermakna mengingat ayat-ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu. Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan Hafaz atau (hifz) dalam bahasa arab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara. Justeru, orang yang menghafaz Al-Quran ialah orang yang memelihara Al-Quran daripada hilang.
Berdasarkan kepada kenyataan ini, kita faham bahawa menghafaz bukan bermaksud mengingat sahaja, walau pun mengingat itu satu daripada unsur menghafaz. Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca dan mengulang. Yang telah lekat di dalam dada itu dijaga supaya tidak hilang. Caranya ialah juga dengan selalu mengulang-ulang bacaan. Menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca itu tidak dapat dilakukan kecuali dengan memahami maknanya. Dan ini juga merupakan satu aktiviti yang perlu diambil perhatian.
Menghafaz al-Quran tidak seperti menghafaz senikata lagu dan prinsip-prinsip matematik atau sains. Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat. Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.. Dengan sebab itu ia mempunyai beberapa kelebihan. Jadi, sebelum kita bincangkan tentang panduan dan cara-cara menghafaz, elok jika kita perhatikan dahulu tentang kelebihan membaca dan menghafaz Al-Quran.
Firman Allah yg bermaksud :- Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ganjaran yang besar. - Surah Al-Isra 9.
FimanNya lagi :- Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau secara terang, sedangkan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak akan binasa (pahala yang bekekalan), nescaya Allah akan menyempurnakan kepada mereka ganjaran yang patut mereka dapat, malah menambahkan lagi kepada mereka beberapa kelebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun lagi amat bersyukur. - Surah Fatir 29-30.
Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin. Fadhilat Al-Quran bukan sahaja kerana membacanya, malah mendengarnya pun mendapat banyak manfaat. Malah, lebih daripada itu jika kita dapat menghafaz, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Kerana dengan menghafaz kita dapat memelihara Al-Quran daripada hilang, dan dengan mengajarnya kita dapat menyelamatkan orang Islam daripada kehilangan punca agama dan aqidah.
Sebaliknya rugilah orang yang tidak ada Al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah s.a.w. menganggapkan orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafaznya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya ialah orang yang sangat rugi seperti rumah buruh yang hampir runtuh. Sabda baginda s.a.w. bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh" Hadis riwayat Tarmizi.
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis seperti yang dibentangkan di atas, marilah sama-sama kita insaf diri dan kembali kepada Al-Quran. Iaitu dengan mempelajarinya, memahami, menghafaz dan mengamal serta menghayati ajarannya.
Di bawah ini dipeturunkan sedikit panduan menghafaz Al-Quran
Bagi guru, sebelum menyuruh pelajar menghafaz mana-mana ayat Al-Quran, guru hendaklah menerangkan dahulu tentang kelebihan mengahafaz Al-Quran dan kelebihan menghafaz ayat-ayat tertentu dan kenapa ayat-ayat berkenaan perlu dihafaz. Adalah tidak wajar jika guru hanya menyuruh pelajarnya menghafaz tanpa memberitahu caranya.
Guru juga dikehendakki memberitahu pelajar tentang panduan menghafaz. Ini bertujuan supaya proses menghafaz itu mudah dan cepat ingat serta tidak membosankan . Di samping itu ia juga tidak mudah lupa.
A. Adab-adab sebelum membaca/menghafaz Al-Quran.
Kerana Al-Quran kitab yang suci, jadi kita perlu muliakannya sesuai dengan kesucian dan ketinggiannya. Tanpa memuliakannya payah ayat-ayatnya akan melekat di dada kita. Antara adab-adabnya ialah:
1. Bersuci dan berwuduk
2. Memakai pakaian yang bersih
3. Berada di tempat yang bersih dan sunyi
4. Mengadap kiblat
5. Ikhlaskan niat. Menghafaz kerana hendak menghafaz, sebab Allah dan rasulNya suka orang yang menghafaz Al-Quran, bukan kerana sebab-sebab lain yang bersifat keduniaan.
B. Teknik menghafaz Al-Quran
1. Membaca ayat-ayat berakenaan dengan sebutan yang betul dan tartil.
2. Baca dan ulang-ulangkan beberapa kali hingga lancar.
3. Setelah lancar, baca ayat berkenaan dengan lebih cepat.
4. Ulang-ulangkan beberapa kali hingga betul-betul lancar.
5. Baca dan cuba mengingat ayat-ayat berkenaan. Iaitu baca tanpa melihat kepada mushaf. Jika tersangkut atau tidak lancar baru lihat mushaf dan kemudian teruskan bacaan (hafazan) tanpa melihat mushaf.
6. Setelah dapat mengingat atau membaca dengan lancar tanpa melihat mushaf, baca ayat lain, iaitu ayat sambungannya dan lakukan seperti langkah 1, 2, 3, 4, dan 5.
7. Setelah dapat mengingat ayat yang kedua ini, mula balik membaca dari awal ayat pertama hingga akhir ayat kedua tanpa melihat mushaf, melainkan jika tersangkut atau tidak lancar.
8. Ulangkan baca beberapa kali dengan bacaan Tadwir supaya lancar.
9. Apabila mendirikan solat, baca ayat-ayat yang telah dihafaz itu di dalam solat.
10. Amalkan membaca Al-Quran setiap hari supaya tidak lupa.
Inilah di antara panduan dan langkah-langkah menghafaz Al-Quran yang dapat dipaparkan untuk tatapan semua. Wallahua'lam